Pages

KHASIAT KURMA



KHASIAT KURMA
Kurma ialah sejenis tumbuhan (palma)  atau dikenali dengan nama saintifiknya Phonex Dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan samada yang dimasak atau yang mentah. Kebanyakkan pokok kurma tumbuh dinegara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis spesis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekah dan Madinah yang juga dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis spesis. Dalam kalangan penduduk di negara-negara Arab, kurma ialah makanan utama mereka, malah dalam kalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah SAW.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar r.a katanya:
"Aku melihat Rasulullah SAW memakan buah-buahan dengan kurma yang masak"Rasulullah SAW telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:
"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang memakan 7 biji tamar 'Ajwah' dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu.

"
Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah SWT sesuai dengan kemuliaannya sebagai jenis kurma pertama yang di tanam sendiri oleh Rasulullah SAW. 


Terdapat juga dalam al-Quran ayat yang menyatakan tentang kurma ini, iaitu ketika dialami oleh Sayyidatina Maryam ketika beliau mengandungkan Nabi Isa a.s. Tafsirnya:

"Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak."(Surah Maryam:25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah SWT memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. 



Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unsur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain. 




Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam kurma adalah unsur paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak. 




Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah SAW menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya:
"Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum  solat. Sekiranya tiada kurma, maka Baginda Rasulullah SAW akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka baginda meminum beberapa teguk air .
(H.R. Ahmad)
Di riwayatkan oleh Anas r.a beliau berkata:
"Rasulullah SAW berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih."Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma:Maksudnya:Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata:
"Saya mendengar  Rasulullah SAW bersabda:
"Hindari-lah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah biji kurma."
Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah biji kurma maka kita telah terhindar daripada api neraka. Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka, khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga baik untuk pertumbuhan kanak-kanak.Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugasan harian iaitu beribadat kepada Allah SWT. 


No comments: